Saturday, April 2, 2011

Bergambar bersama YB Dato' Haji Marsum Bin Paing, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Dengkil. - 1/4/2011
Penyerahan kemeja T Pemuda RTB United kepada Dato' Haji Marsum sebagai simbolik transformasi pemuda & belia Rancangan Tanah Belia.

Friday, April 1, 2011

Usul : Cadangan perlaksanaan sekolah satu sessi

Usul : Cadangan perlaksanaan sekolah satu sessi

Saya menyokong penuh cadangan ini untuk dilaksanakan. Sekolah satu sessi ini bukanlah baru kerana sekarang ini telah wujud sekolah yang seumpamanya. Yang paling membanggakan ialah sistem persekolahan ini merangkumi keperluan KBSR dan KAFA pada satu sessi. Sekolah yang saya maksudkan disini ialah sekolah integrasi dibawah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Waktu persekolhan bermula jam 7.30 pagi dan berakhir jam 4.00 petang. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia diharap dapat menjadikan sistem sekolah ini sebagai ’benchmark’ dalam menjayakan cadangan ini. Selain itu, sistem pendidikan dinegara-negara jiran seperti Singapura dan Jepun juga boleh dilihat bagi mendapatkan idea dan kaedah yang sesuai dengan suasana dan budaya Malaysia.

Antara kebaikan perlaksanaannya ialah :

  • Sessi persekolahan yang lebih komprehensif menggabungkan keperluan KBSR dan KAFA bagi yang beragama Islam.
  • Jika cadangan ini dapat diselaraskan seluruh Malaysia, ianya mampu memberikan pendidikan akademik dan agama yang seimbang kepada semua murid-murid sekolah rendah. Sekarang ini hanya sebahagian kecil sahaja ibu bapa yang menghantar anak mereka ke  SRA, SAR atau KAFA. Walaupun di SRK ada J-QAF ianya masih tidak dapat memenuhi sukatan pelajaran seperti disekolah SRA. SAR atau KAFA.
  • Mengurangkan masa transit murid-murid antara sekolah kebangsaan dan sekolah agama. Oleh yang demikian, ibu bapa tidak perlu mengambil dan menghantar anak pada waktu tersebut. Ia juga dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas pada waktu tersebut.
  • Anak-anak mempunyai masa yang cukup untuk rehat, solat berjamaah, dan menjalankan aktiviti riadah dalam sessi tersebut. Sistem ini boleh dijadikan satu sistem persekolahan yang menyeronokkan bagi murid-murid jika diselang-selikan dengan aktiviti riadah. Sistem yang berteraskan Islam ini terbukti dapat melahirkan murid-murid yang cemerlang dari segi akademik dan akhlak. Ianya boleh dijadikan asas untuk murid-murid ini melangkah ke sekolah menengah dan seterusnya universiti kelak.
  • Ibu bapa juga tidak perlu bimbang akan keselamatan anak-anak mereka kerana anak-anak mereka berada disekolah yang sama sehingga 4.00 petang.
  • Untuk mereka yang bukan beragama Islam, pelajar SRJK(C) dan SRJK(T) juga boleh diselaraskan mengikut keperluan masing-masing.

Ada banyak lagi kebaikan yang boleh diperolehi sekiranya cadangan ini dilaksanakan dengan perancangan yang betul dan sistematik.Untuk menjayakannya pihak Kementerian Pelajaran Malaysia perlu memberi perhatian kepada perkara-perkara berikut :

  • Prasarana yang mencukupi. Ini memerlukan perbincangan yang teliti antara pihak kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. Bangunan sekolah sedia ada, sama ada SRK, SRA, SAR dan KAFA hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya dan selia sepenuhnya oleh kerajaan. Sekiranya ianya tidak dapat menampung jumlah murid yang ramai, bangunkan bangunan baru yang dapat menampung keperluan disesebuah kawasan tersebut. Jangan berkompromi tentang pembangunan prasarana pendidikan.
  • Jumlah guru yang mencukupi dan boleh menampung keperluan sejumlah murid yang ramai. Jika cadangan ini dapat dilaksanakan, diharap pihak kerajaan mengkaji semula skim perguruan, agar guru-guru KAFA, SRA, SAR dapat diselaraskan dibawah satu skim perguruan yang lebih tersusun dan mudah diurus. Tidak terkecuali guru-guru J-QAF. Saya percaya sekiranya ini dilaksanakan, bilangan lepasan ijazah perguruan yang menganggur dapat dikurangkan. Ia juga dapat membuka ruang kepada guru sandaran untuk diserapkan dalam skim perguruan ini mengikut kelulusan dan kemampuan mereka.
  • Jadual waktu untuk guru-guru juga perlu dilihat secara teliti agar guru-guru mempunyai ruang yang cukup untuk membuat tugas sampingan yang lain seperti membuat laporan, memeriksa buku murid, kertas peperiksaan dan penyediaan alat bantu mengajar. Waktu kerja yang fleksibel juga boleh difikirkan sekiranya sesuai.

Ada banyak lagi perkara yang boleh dibincangkan. Diharap dengan usul dan cadangan ini, ianya dapat memberikan sedikit input bagi menjayakan hasrat kerajaan melahirkan generasi berilmu dan berkualiti disamping tidak mengabaikan keperluan rohani yang menyumbang kepada pembentukan generasi yang berakhlak. Sekiranya ini dapat dijayakan, InsyaAllah kadar jenayah dan keruntuhan akhlak yang melibatkan remaja dapat dikurangkan.


Mohon mencadang,
Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Desa Rancangan Tanah Belia.
Bahagian Sepang
*Diusulkan dimesyuarat Agong UMNO Cawangan Desa Rancangan Tanah Belia pada 1 April 2011 untuk dibawa ke peringkat UMNO Bahagian Sepang.