Tuesday, October 12, 2010

Ayuh! bangunlah anak watan negeri Selangor

Gelombang kedua 'Selamatkan Selangor' akan dilancar

SHAH ALAM 12 Okt. - Badan Perhubungan UMNO Selangor akan melancarkan gelombang kedua program 'Selamatkan Selangor Darul Ehsan' (SSDE) di seluruh negeri itu, akhir Oktober ini.
Ketua penerangannya, Abdul Shukor Idrus berkata, pelancaran itu merupakan kesinambungan program SSDE peringkat pertama yang dimulakan oleh parti itu sebelum ini.
Katanya, dalam gelombang kedua SSDE, pihaknya memberi tumpuan kepada aktiviti ceramah di setiap kawasan seluruh negeri itu melibatkan penglibatan semua pemimpin UMNO di peringkat bahagian.
Dalam masa yang sama, katanya, program itu akan mengekalkan para penceramah yang terdiri daripada bekas-bekas pemimpin utama Parti Keadilan Rakyat (PKR) antaranya ialah bekas Ketua Angkatan Pemuda Keadilan (AMK), Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor, bekas Naib Ketua AMK, Mohd. Zahid Md. Arip dan lain-lain lagi.
"SSDE peringkat pertama telah bermula Julai sehingga Ogos lalu. Untuk gelombang kedua ini, insyallah, kita akan mulakan pada hujung bulan ini.
"Kita akan gerakkan seluruh pemimpin dalam program SSDE kedua ini bagi memberi penerangan kepada rakyat mengenai isu-isu semasa termasuklah siri-siri pembohongan yang dilakukan oleh pakatan pembangkang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

No comments:

Post a Comment